Anak adalah anugerah daripada
Allah buat setiap ibubapa. Setiap apa pendidikan yang kita berikan kepada anak
kita, itulah cerminan buat diri kita.
Kanak-kanak dalam lingkungan
umur 2-6 tahun (prasekolah memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba
apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang
berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.
Di samping itu kanak-kanak
sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan
perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu
kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Kanak-kanak mempunyai komunikasi
verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai
pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh
itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan
oleh anak.
Maka jadilah anak tersebut
menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran
kekecewaan kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu
kecewa sebenarnya ibu bapa sekalian. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah
tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
Ada beberapa tips yang boleh
dipraktikkan oleh ibu bapa bagi berusaha mengatasi masalah ini :
1. Kanak-kanak sangat
memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya
bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian
kepada ibunya.
Oleh itu cuba fahami bahasa
anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa
yang anda lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap
matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak ? Eye
contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun
dengan anak kecil.
2. Sebaik sahaja anda pulang
dari bekerja dan mengambil anak dari taska, luangkan masa setengah jam terlebih
dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dan sebagainya.
Berikan perhatian pertama anda kepada anak. Tanyakan dengan lembut
dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di
taska/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama
sangat sayangkan abang. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam,
barulah puan minta diri untuk ke dapur dan sebagainya. Insya Allah anak akan
lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.
3. Ajarkan anak dengan
perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan
sesuatu dan kita tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak contohnya.
Layanilah dia sebaik sahaja ada kesempatan.
Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya kita sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan kita sekiranya kita pula yang memanggilnya.
The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh harapkan anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
4. Cuba fahami personaliti
anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri.
Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh
dikategorikan sebagai personaliti Sanguine. Anak ini memang sangat
sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya
seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan
kuat dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kita boleh
mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana
boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.Sekiranya anak suka menjerit,
kita boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ
berulangkali sehingga dia letih.
Insya Allah dia akan kurang
suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia
akan berhenti menjerit atau membuat perangai lain beberapa hari. Sekiranya dia
mengulanginya semula, kita suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia
berhenti sendiri lama kelamaan.
Berikan dia hadiah (gula-gula
misalanya) jika kita dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit
dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya,
papa atau mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan
ini anak akan faham bahawa papa atau mama tidak menyukai perbuatan tersebut.
5. Sentiasa ingatkan diri kita
dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan hati.
Tumpukan perhatian kita terhadap kelebihan tersebut, jangan ingat kekurangan
anak dan doakan setiap kali selesai solat agar Allah memudahkan kita mengubah
sifat negatifnya.
Bayangkan anak dengan semua
sifat-sifat positif yang kita inginkan setiap kali kita berinteraksi dengan
anak. Boleh juga tukita berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk
tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium
dan bacakan selawat serta sebutkan harapan kita kepadanya
Misalnya ‘papa dan mama
sayang kakak, papa dan mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan
perkara spesifik yang kita mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa dan mama harap
kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘papa dan mama tak
suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan
didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali.
Ibubapa sekalian juga boleh
membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka
masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Sebagai ingatan,
sesungguhnya mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang
serba mencabar.
Semoga semua ibu bapa lebih
bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia
anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan
anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam
sekeliling.
Anak-anak hidup dalam dunia
yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga
galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali
personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.
Sekian, semoga Allah
mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada ibu bapa. Jangan berputus asa
dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita
sebagai ibubapanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan