“Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak
dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam
sehari, bila saat iman naik sikit kan… Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh,
macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman
turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak
mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?”
“Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat
bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan.
Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain.
Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga
yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang
paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu
berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa
mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I…I just don’t get it…Please,
help me...”
***
Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa
solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya
anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat
merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.
Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua
kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua
kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun
solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah.
Syahadatain ada dalam solat.
Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu
sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan
sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada
waktu yang telah ditetapkan.
Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat
membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada
padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil
selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat.
Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat
selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat
juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.
Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam
bulan Ramadan. Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan
dan minum termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur
yang masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan
sengaja selain daripada Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf
membatalkan solat. Hikmah puasa ada dalam solat.
Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan
dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh
kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga
ada dalam solat.
Subhanallah!
“Aku tak solat tapi aku masih berbuat baik terhadap orang
lain?”
Solat amalan pertama yang akan dihisab Allah.
Abu Hurairah berkata : “Aku mendengar Rasullullah SAW
bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari
kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia
akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk
orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat
fardhunya, maka Allah berfirman: ” Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku
mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?’ Kemudian jika hambaku
menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat
fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu”
(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)
Andai anda melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing
jiran tetapi apabila pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik
tak? Begitulah kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri
sendiri dengan Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu?
Anda baik dengan manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan
sahaja kebaikan itu dengan solat yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan
hati. Terutama menyemai rasa ikhlas dalam melakukan amalan. Bimbang andai
kebaikan selama ini yang dilakukan mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia
sedangkan solat ditinggal di belakang manusia.
Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang
lain tersangkut waktu hari perhitungan.
Wahai hamba… Solatlah!
“Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan
waktunya atas orang-orang yang beriman”
(Surah An-Nisa’ ayat 103)
***
“Kenapa aku jadi macam ni?” Kita tahu kita salah, tapi sukar
pula untuk berubah. Rasa berat untuk nak mula.. Kenapa ya?
Satu. Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.
Dua. Sebab tak ingat mati.
Tiga. Sebab seronok hidup dekat dunia.
Empat. Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.
Lima. Sebab lalai dengan kemewahan.
Enam. Sebab kurang ilmu agama.
Tujuh. Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.
Lapan. Sebab malas mujahadah.
Sembilan. Sebab solat dianggap sekadar ritual yang
tidak dihayati.
Sepuluh. Anda bagilah sebab sendiri. Diri sendiri
lebih kenal diri sendiri. Tanya diri sendiri kenapa aku jadi begini.
***
“Baik. Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali
semula?”
Sebagai sesama muslim, kita sentiasa perlu diingatkan
kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surah Adz-Dzaariyat ayat 56.
Allah berfirman yang bermaksud:-
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar
mereka beribadah kepada-Ku”
Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah lima perkara
tersebut? Mesti semua sudah maklum kan…
Tak salah nak dengar lagu ‘You’re Beautiful’ Bruno Mars. Tak
ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah anda dengar lagu itu, saya boleh
tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga pesanan Rasulullah yang diabadikan
dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan.
“Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat
sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit.
Hidup sebelum mati”
(Riwayat Hakim dan al-Baihaqi )
Kalau kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu
kereta besar. Mahu rumah besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang
proses duit palsu Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi?
Bukan tentang soal hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat
sana.
Ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang
ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata
masih bisa dicelik. Udara masih bisa dihirup. Nafas masih lagi terhela. “Oh,
hidup lagi aku ni rupanya. Alhamdulillah”.
Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini
langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak
bisa lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru,
laptop baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang.
Allah langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya
memakan masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?
Syukur kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka
cantik. Mata menarik. Hidung masih berfungsi. Mulut masih bisa menelan. Tiada
anggota yang cacat. Ada orang tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi
menggagahkan diri berjalan kaki ke masjid. Malu kita.
Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya pada
dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang ada ini
sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu dihisab
nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apakah dapat
diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir semua itu?
Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata
dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri
namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat
pandangan. Diri mula panik. Tidak bisa melihat alam lagi. Tidak bisa menatap
wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar.
Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas
mengambil wuduk.
Andaikan otot anda yang digunakan untuk menulis, menaip dan
bermain. Suatu ketika Allah menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot
yang tidak berfungsi. Saraf mula terjejas. Tiada lagi bisa menggerakkan jemari
seperti dulu. Tiada lagi bisa menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu
itu mula mengagahkan jua jemari membasuh muka berwuduk untuk solat?
Andaikan sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima
panggilan ada tender baru, tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan
terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta
remuk redam. Cermin kereta pecah seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan
saat doktor mengatakan bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu
terlantar dalam bilik pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.
Apakah ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang
disaksikan dalam typical local drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk
solat? Kalau jawapannya ya, silakan. Tunggulah.
Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu
bukan umpama jarum jam yang bisa diputar ke masa sebelumnya. Anda pasti akan
mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara
yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.
Wahai hamba… Solatlah!
“Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan
sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang
yang bertakwa”
(Surah Taha ayat 132)
***
“Em, ada nasihat terakhir?”
Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat
yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu
diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia
tetap terus bersama curahan nikmat-Nya!
Kita punya masa untuk keluar bersama kawan-kawan. Kita punya
masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa. Kita punya masa untuk
melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di situ. Kita punya
masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila diri mengatakan tiada masa
untuk solat yang hanya 5 minit cuma!
Sekarang diri mengatakan “aku malas solat”. Dan lihatlah
wahai hamba, Allah telah mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan
mampu dikira kerana begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita
muhasabah.
“dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu
tidak mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha
Penyayang”
(Surah An-Nahlu ayat 18)
Namun mungkin masih bisa dikira. Mata untuk melihat. Hidung
untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Kaki untuk berjalan. Tangan untuk
memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian untuk dipakai. Kereta untuk bergerak
dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah untuk berlindung dari panas dan
hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah berikan, diri masih berani
mengatakan “aku malas solat!”
Andai kamu masih menyedari dua kaki itu masih berpijak di
atas bumi-Nya maka tolong. Tolong, tolong dan tolong. Tolong dirikan solat.
Namun andai kamu percaya kamu bisa mencari ‘bumi’ yang lain untuk hidup, tidak
mengapa.
Lakukanlah apa yang kamu suka. Tapi ingat, bukan di bumi
yang kamu pijak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan