PETALING JAYA: Penyanyi Najwa Latif terharu selepas menonton menerusi YouTube sekumpulan pelajar sekolah di Amerika Syarikat (AS) menyanyikan lagunya berjudul Sahabat dalam Bahasa Malaysia.
Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, 18, berkata, dia
mendapat tahu perkara itu selepas peminat-peminatnya memaklumkan perkara
berkenaan menerusi laman sosial Twitter.
"Saya terharu dan sebak apabila menonton video tersebut di YouTube.
"Tidak sangka pelajar-pelajar di sana (Amerika) begitu senang
membawakan lagu Sahabat. Rasa macam tidak percaya.
"Ini menunjukkan lagu tersebut mudah diterima oleh sesiapa sahaja,
Alhamdulillah," katanya yang dihubungi mStar Online di
sini pada Rabu.
Sebuah video menerusi laman YouTube yang memaparkan
sekumpulan pelajar muzik di Amerika Syarikat menyanyikan lagu Sahabat telah
dimuat naik baru-baru ini.
Pelajar-pelajar tersebut menyanyikan lagu berkenaan dengan lancar
sehingga membuatkan guru muzik yang mengajar mereka menitiskan air mata.
Tambah Najwa, dia menyifatkan lagu itu mempunyai kelebihan sendiri
mungkin kerana ia mudah diterima ramai di samping mempunyai mesej berguna
kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Beritahu Najwa, keadaan itu membuatkan dia lebih bersemangat dalam
mencipta pelbagai lagu pada masa hadapan.
“Jujur dikatakan saya sendiri tidak terfikir bahawa ada pihak di negara
luar yang mahu membawakan lagu Sahabat.
"Namun, apabila melihat video tersebut membuatkan saya yakin untuk
memperkenalkan muzik saya di Eropah. Mana tahu, kalau diberi peluang, apa
salahnya, "
tutur Najwa.
Dalam perkembangan lain, Najwa baru sahaja melancarkan single lagu
terbaharunya berjudul I Love You.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan