Bulan Syaaban juga merupakan bulan untuk kita
mengejar kebaikan bagi persediaan menghadapi Ramadhan. Sabda Rasulullah s.a.w
yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di
atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat
keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.
As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin
menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin
Malik:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah
Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya
di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan
kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca
selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya
menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta
mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu
yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air
itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca
selawat, sampai hari Kiamat.”
Pada malam Nisfu Syaaban ditekankan agar umat Islam melakukan solat sunat
Tahajjud dan solat sunat Taubat kerana pada malam ini ialah malam terbaik untuk
meminta pengampunan dan rahmat daripada Allah seperti sabda Rasulullah s.a.w
yang bermaksud:
"Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya,
dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia
ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon
keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki,
lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala
bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga
terbit fajar.”(Riwayat ibn Majah)
Antara kebaikan dan kelebihan beribadat dalam bulan Syaaban ialah:
1). Barang siapa berpuasa tiga hari pada awal bulan Syaaban, tiga hari
pada pertengahan, dan tiga hari pada akhir bulan Syaaban akan mendapat pahala
seperti 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia
mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid.
2). Doa orang-orang yang beriman akan dimakbulkan.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
"Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam
Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada
dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."
(Riwayat: Abdullah Umar)
3). Mohonlah keampunan pada malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu
pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu
berkata, pada malam ini , pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka.
Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah
dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak
menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum
arak, pezina, orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya,
orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan
persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka
benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya."
Begitulah sedikit sebanyak kebaikan,keistimewaan dan kelebihan bulan Syaaban.
Marilah kita tingkatkan amalan kita dan rebutlah peluang yang ada.
Sumber JAKIM dan IKIM
Sumber JAKIM dan IKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan