Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011
telah membincangkan mengenai Hukum Wanita Menyusukan Anak Angkat. Muzakarah
telah membuat keputusan seperti berikut
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang
dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam menggalakkan setiap ibu yang
melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga
mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu,
Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak
angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan
perubatan.
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’
yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk
menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang
menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak
disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa
menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah
harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama
ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan
tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan
ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui
pertukaran jantina.
Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah
penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu
penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung
seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi
wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah
menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak
susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak
seperti berikut:
a. bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;
b. susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan
c. umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan
bulan qamariah.
Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi
makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama
seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun,
sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul
atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh
badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama
Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang
bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada
nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada
aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur
dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur
dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada
ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah
perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.
Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan
bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah
memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah
menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan