Bukan senang untuk menjadi seorang ibu, namun tidaklah
sesukar mana bagi seorang wanita menjadi ibu susuan kepada anak angkat. Dengan
kecanggihan teknologi perubatan sekarang, seorang wanita bujang yang tidak
memiliki suami mampu menyusukan bayi angkatnya. Inilah senario yang berlaku di
dalam masyarakat kita sekarang. Biarpun perkara ini baru didedahkan oleh media
namun hal ini sudah pun menjadi kebiasaan bagi segelintir golongan wanita di
negara kita terutamanya di bandar- bandar besar.
Bukan ibu susuan dipersoalkan tetapi hasrat dan keinginan
untuk mendirikan rumahtangga bagi wanita bujang mungkin akan terkubur kerana
telah pun memiliki anak biarpun belum bersuami. Kecenderungan wanita
profesional yang belum berkahwin untuk mengambil anak angkat dan memakan pil
penggalak susu badan untuk menyusukan bayi angkat mereka menjadi suatu
kebimbangan dalam masyarakat kita kini. Jika ini yang berlaku, ia bukan sahaja
mematikan keinginan wanita untuk berkahwin tetapi akan membantutkan institusi
kekeluargaan yang menjadi teras kepada pembentukan masyarakat. Arah aliran
situasi ini kian menular dan seharusnya diselidiki dan dikaji oleh pakar- pakar
agama, pakar kesihatan dan pakar sosial sama ada ia akan membawa kesan yang
besar atau sebaliknya. Ini kerana mungkin dengan penggunaan pil penggalak susu
badan mempunyai kesan yang baik atau buruk dalam jangka masa tertentu bagi yang
menggunakannya. Dikhuatiri akan berlaku lagi satu ancaman kesihatan jika ia
salah digunakan demi kepentingan peribadi.
Perkahwinan merupakan satu jalan untuk membentuk sebuah
keluarga dan berfungsi sebagai pengekalan dan penerusan zuriat keturunan
manusia. Peranan biologi ini cukup jelas dirakamkan dalam Al Quran. Oleh itu,
jika golongan wanita tidak berkeinginan untuk berkahwin bermakna ia telah tidak
melengkapkan fitrah manusia yang memerlukan perkahwinan yang sah sebagai ikatan
kekeluargaan untuk menyabung zuriat umat manusia. Jika ini berlaku, ia
menampakkan keinginan golongan wanita lenyap begitu sahaja. Malah pepatah yang
menyebut, ‘ no man is an island' mungkin tidak bermakna lagi. Ini kerana kata-
kata tersebut membayangkan kepada kita bagaimana seseorang itu tidak boleh
hidup tanpa bergantung kepada orang lain. Dan inilah yang dikatakan fitrah.
Tidak boleh disangkal lagi bahawa naluri keibuan untuk
memiliki anak adalah tinggi bagi setiap wanita. Namun begitu, perkahwinan
merupakan satu- satunya jalan untuk memiliki zuriat sendiri melainkan seseorang
itu tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan zuriat. Mungkin keadaan ini
membolehkan wanita yang telah berkahwin untuk mengambil anak angkat dan
menyusukannya bagi menjadikan bayi tersebut muhrim baginya. Ini kerana di dalam
agama Islam sendiri pun menyarankan agar ibu- ibu menyusukan anak- anak mereka.
Menurut hukum syarak, menyusukan anak angkat adalah tidak salah dan Nabi
Muhammad sendiri pun disusukan oleh Halimatus Saadiah iaitu seorang wanita di
sebuah kampung di Mekah. Cuma, apabila isu wanita bujang yang belum berkahwin
menyusukan anak, isu ini perlu diberi perhatian dan diperhalusi lagi. Ia
menjadi satu kebimbangan yang mungkin akan mempengaruhi wanita Islam yang lebih
mengutamakan kerjaya secara membuta tuli dan menganggap perkahwinan menyusahkan
mereka. Tetapi dalam masa yang sama, mereka inginkan anak. Seseorang wanita
yang tidak berkahwin boleh mengeluarkan susunya menggunakan pil penggalak susu.
Maka dalam keadaan tidak memiliki pasangan, mereka boleh mengambil anak angkat
untuk menubuhkan keluarga, iaitu tanpa lelaki. Di sini, faham keluarga itu
sudah berubah yang mana ada suami, isteri dan anak- anak yang menjadi pelengkap
sesebuah keluarga. Talian perkahwinan yang berlandaskan ajaran Islam akan
melahirkan generasi pelapis yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara
yang akan datang mengikut acuan yang betul.
Memandangkan betapa parahnya gejala masyarakat yang melanda
muda mudi kini, memungkinkan akan lahirnya anak di luar nikah. Oleh itu, aliran
mengambil anak angkat di kalangan bayi yang masih kecil ada kebaikannya
berbanding tiada siapa yang mempedulikan kepada anak yang sangsi keturunan.
Dari sini mungkin akan mengurangkan gejala pembuangan bayi yang tidak berdosa
dan dapat memelihara masa depan anak tersebut. Namun, ibu yang ingin menyusukan
anak angkat menggunakan teknologi perubatan ini seharusnya mendapat khidmat
nasihat daripada cerdik pandai di bidang agama dan juga perubatan. Ini kerana
pengambilan anak angkat dan amalan lain semasa memelihara mereka bersangkut
paut dengan hukum dan syarak sama ada mengenai penyusuan, aurat dan sempadan,
perwarisan harta, menamakan anak dan sebagainya. Namun begitu, apa yang
dikhuatiri, fenomena ini berlaku akan menyebabkan perkahwinan sesama muhrim
pada masa akan datang kerana tidak mengetahui tentang susur galur keluarga anak
tersebut. Oleh itu, disarankan agar wanita yang berhasrat untuk mengambil anak
angkat agar benar- benar mengenali keluarga anak susuannya bagi mengelakkan
kemungkinan anak angkat tersebut menyalahkan ibu susuannya kerana mengahwini
keturunan sendiri atau saudara susuan mereka kerana tidak mengenali sesiapa
pun.
Melihat kepada keadaan ini, mempamerkan kepada kita bahawa
golongan wanita tersebut tidak mahu berkahwin tetapi inginkan anak. Mungkin
perlu juga dikaji kenapa hal sedemikian berlaku? Adakah kerana terpengaruh
dengan rumahtangga orang lain yang mengalami kegagalan atau belum bertemu
jodoh. Atau adakah kerana terpengaruh dengan filem- filem keruntuhan
rumahtangga yang agak malang atau pengalaman dari kegagalan perkahwinan yang
lepas membuatkan wanita tidak mahu berkahwin. Tetapi dalam masa yang sama
mempunyai naluri keibuan. Hal ini tidak boleh dipandang remeh oleh masyarakat.
Ini kerana, sebab mengapa wanita tidak berkahwin akan membawa kepada isu yang
hangat dibincangkan ini akan berterusan. Namun begitu, wanita yang tidak
berkahwin disebabkan tidak bertemu jodoh tidak boleh dipandang serong kerana
tiada siapa yang boleh menolak takdir Allah. Apa yang dikhuatiri jika wanita
bujang menyusukan bayi angkat mereka dengan mengambil pil penggalak susu badan
semata- mata menjadikan alasan untuk mereka tidak berkahwin.
Mungkin setiap wanita bujang yang menyusukan bayi angkat
memiliki alasan tersendiri. Namun, janganlah keinginan untuk berumahtangga
dimatikan begitu sahaja kerana ia akan membantutkan institusi keluarga. Kita
perlu kembali kepada fitrah sebenar manusia yang memerlukan perkahwinan untuk
menyambung zuriat. Janganlah kita mengambil kesempatan dengan kemajuan
teknologi perubatan yang ada, kita melupakan fitrah manusia. Kemajuan ilmu
sains adalah untuk kebaikan manusia yang mana kita dapat mengambil manfaatnya
jika betul- betul memerlukannya.
Justeru itu, samping dalil-dalil yang dikemukakan berhubung
dengan wanita bujang menyusu dan mengambil anak angkat, peranan bapa dilupakan.
Bapa bukanlah hanya seorang yang menanam benih, tetapi ia juga bertanggungjawab
memberi bimbingan akhlak dan agama yang tidak dipertanggungjawabkan kepada
golongan ibu. Adakah menjadi contoh sekarang bahawa si wanita sekarang
mengambil amanah yang dipertanggungjawabkan kepada si suami? Ini seolah-olah si
wanita sesudah diringankan beban tanggungjawab memberi asuhan, didik dan
bimbingan agama oleh Allah s.w.t, sekarang golongan inilah yang meminta amanah
ini diberi kepada mereka?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan